Ribut solar kuat menuju ke Bumi

Viral Matahari7

GAMBAR fail nyalaan solar di matahari. – Foto AFP/NASA

WASHINGTON – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengeluarkan amaran ribut solar selepas berlakunya letupan tenaga yang kuat dari Matahari minggu lalu, lapor portal berita MailOnline semalam.

Letusan itu diukur berkekuatan kelas-X2.7 iaitu kategori tertinggi untuk letusan suria.

Letusan suria adalah letupan kuat radiasi yang datang daripada bintik Matahari. Ia merupakan kawasan yang lebih gelap dan sejuk di permukaan Matahari serta merupakan antara letupan paling kuat dalam sistem suria. 

Letusan itu boleh bertahan dari beberapa minit hingga berjam-jam. 

Susulan itu, ribut suria besar sedang menuju ke Bumi serta mengancam untuk mengganggu komunikasi, sistem navigasi dan grid kuasa di seluruh dunia.

Suar itu telah pun menyebabkan gangguan pada sistem radio di seluruh Eropah, Asia, dan Asia Barat, di samping beberapa penurunan kuasa di timur Amerika Syarikat (AS).

NASA berkata, letusan itu boleh terus memberi kesan kepada komunikasi radio, grid kuasa elektrik, isyarat navigasi dan menimbulkan risiko kepada kapal angkasa dan angkasawan.

Pakar angkasa lepas, Vincent Ledvina menulis di platform X: “Keadaan ini semakin sengit, terutamanya di kawasan yang aktif (Matahari).” – AGENSI