Ribut Bert ragut 5 nyawa di Britain

ribut bert

Keadaan banjir di Jalan Sion, Pontypridd kelmarin. – Getty Images

LONDON – Sekurang-kurangnya lima orang terkorban apabila Ribut Bert menghentam Britain dengan membawa angin kencang,  diikuti hujan lebat serta salji, lapor akhbar The Guardian semalam.

Beribu-ribu kediaman terputus bekalan elektrik, manakala perkhidmatan penerbangan dan kereta api ditangguhkan, malah ada yang dibatalkan berikutan cuaca buruk.

Di selatan Wales, majlis daerah Rhondda Cynon Taf mengisytiharkan darurat selepas  banjir menggenangi beberapa buah bandar termasuk Pontypridd, Ebbw Vale dan Aberdare.

Seorang jurucakap majlis perbandaran Pontypridd berkata: “Sepanjang petang(kelmarin), cuaca buruk mengakibatkan kesan yang meluas dengan lebih 100 hartanah komersial dan kediaman berisiko dinaiki air.”

Ribut Bert membawa 80 peratus daripada taburan hujan bulan November, dengan 64.4 milimeter hujan turun di Capel Curig, utara Wales dalam masa hanya 12 jam kelmarin.

Tiupan angin mencecah 132 kilometer sejam turut direkodkan di Capel Curig.

Sementara itu, lebih 200 amaran banjir dikeluarkan untuk England, Wales dan Scotland kelmarin, manakala dua amaran banjir paling serius dikeluarkan untuk kawasan  Monmouthshire, tenggara Wales.

Ahli meteorologi Pejabat Meteorologi, Greg Dewhurst berkata, Ribut Bert akan meninggalkan Britain dalam tempoh 24 jam akan datang. 

“Hujan lebat merentasi bahagian tengah dan selatan England serta Wales, walaupun kita melihat cuaca kering seketika.

“Paras air  sungai terus meningkat dan kita boleh melihat banjir selanjutnya di beberapa buah tempat,” katanya.

Lebih 300 penerbangan dibatalkan akibat Ribut Bert, kata firma analisis penerbangan, Cirium.

Pengendali kereta api turut membatalkan perkhidmatan di beberapa laluan sepanjang hari kelmarin dan menggesa penumpang menyemak semula laluan mereka sebelum melakukan  perjalanan. – AGENSI