WASHINGTON – Beribu-ribu penduduk di tenggara Amerika Syarikat (AS) melihat berbilang bebola api meluncur di langit pada malam kelmarin, lapor portal berita MailOnline.
Penduduk tempatan termasuk Reagan Jones memuat naik video fenomena itu di media sosial. Dia menyangka bebola api itu adalah hujan meteor.
Namun, seorang ahli astronomi di Pusat Astrofizik Harvard–Smithsonian, Jonathan McDowell mengesahkan di platform X bahawa fenomena itu adalah disebabkan oleh kemasukan semula tidak terkawal sebuah satelit pengimejan komersial ke atmosfera Bumi.
McDowell berkata, satelit SuperView-1 02 milik China itu adalah sampah angkasa dan sudah tidak lagi berfungsi sejak Januari 2023.
Beliau menyatakan bahawa pegawai-pegawai telah mengetahui satelit itu akan memasuki atmosfera Bumi kelmarin.
Mereka bagaimanapun tidak pasti bila atau di mana ia akan jatuh ke Bumi.
Bebola api itu memancar menerangi langit malam kerana satelit tersebut terbakar dan memasuki semula atmosfera Bumi
Persatuan Meteor Amerika menerima sekurang-kurangnya 120 laporan mengenai penampakan bebola api di Louisiana, Alabama, Mississippi dan Missouri selepas satelit itu meletup. – AGENSI