Remaja tidak tidur 12 hari cuba pecah rekod dunia

tak tidur 12 hari

Norme menyiarkan cubaannya memecah rekod secara penstriman langsung. – Norme is bac/Rumble

CANBERRA –  Seorang pesohor laman perkongsian video YouTube dari Australia cuba menempa nama dalam Guinness World Records dengan kekal berjaga selama 12 hari berturut-turut, lapor akhbar Daily Mirror kelmarin.

Norme, 19, berhasrat memecahkan rekod masa paling lama tanpa tidur yang dicatatkan pada tahun 1986 oleh Robert McDonald. Dia berjaga selama 18 hari, 21 jam dan 40 minit. 

Guinness World Records bagaimanapun berhenti memantau rekod kategori tersebut pada 1997 berikutan bahaya berkaitan kekurangan tidur, lapor laman berita Delaware Online.

Norme bagaimanapun meneruskan hasratnya dengan menyiarkan aksi tersebut secara penstriman langsung, menyebabkan beberapa penonton yang bimbang dengan keadaan kesihatannya menghubungi perkhidmatan kecemasan.

Remaja itu berjaya mencapai tempoh berjaga selama 264 jam dan 24 minit ketika anggota-anggota kecemasan seperti ambulans serta polis bersiap sedia di rumahnya.

Norme yang mempunyai sekitar 1.21 juta pengikut di YouTube, melawan perasaan mengantuk dengan menonton video, keluar bersama rakan-rakan, makan, bersembang dengan pengikutnya secara online dan bermain alat permainan.

Rakan-rakannya juga mengambil giliran untuk memantaunya selama 12 jam bagi memastikan Norme tidak tertidur. – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *