JAKARTA – Seorang remaja di Bandung, wilayah Jawa Barat mengundang perhatian orang ramai kerana memandu sebuah kereta elektrik (EV) berharga 413 juta rupiah (RM112,254) dan melanggar beberapa gerai pameran, lapor portal berita Bisnes semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 7 malam (waktu tempatan) pada pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS), Sabtu lalu.
Rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @funnelmedia memaparkan kios-kios yang ranap.
Bahkan, ada pengunjung pameran yang mengeluarkan telefon bimbit untuk merakam ‘kemalangan’ itu.
Difahamkan, remaja itu berada di dalam sebuah kenderaan elektrik dan menekan pedal minyak kereta jenis Morris Garage ZS EV kerana menganggap enjinnya tidak dihidupkan.
Rakaman itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
“Jual ginjal pun tak cukup nak beli kereta itu,” sindir seorang netizen.
“Definisi sebenar membeli kereta baharu secara tidak sengaja,” komen netizen lain. – AGENSI