Remaja ‘show off’ senapang bapa tertembak diri sendiri

remaja tertembak

Polis menyiasat lokasi kejadian tembakan di rumah mangsa. – Facebook

BANGKOK – Seorang remaja lelaki kritikal selepas tertembak dirinya sendiri ketika menunjukkan senapang patah milik bapanya kepada seorang rakan, lapor laman berita Must Share News semalam.

Dalam kejadian kelmarin di Na Mon, wilayah Kalasin, remaja berumur 14 tahun itu cuba menarik perhatian rakannya apabila dia mengendalikan senapang patah laras panjang milik   bapanya.

Semasa berada di tingkat dua rumahnya dan tanpa kehadiran orang dewasa, senjata api yang dipegang melepaskan tembakan, menyebabkan lima peluru penabur mengenai dada kanan mangsa.

Pegawai dari Balai Polis Namon mendapati rakan mangsa yang juga berusia 14 tahun, berada di tempat kejadian dalam keadaan terkejut.

Rakannya memberitahu bahawa mangsa mengambil senjata api tanpa itu tanpa mengetahui ia mempunyai peluru hidup.

Punca sebenar kejadian belum diketahui, manakala polis dan pihak berkuasa lain  ditugaskan untuk melakukan siasatan. – AGENSI