Remaja perempuan dibelasah dalam kereta api 

TRAIN

Gambar hiasan. – Getty Images

LONDON – Seorang remaja perempuan patah pergelangan tangan selepas diserang sekumpulan remaja lain ketika menaiki kereta api di England, lapor akhbar Metro UK semalam. 

Kejadian berlaku di dalam kereta api bawah tanah Tyne and Wear Metro di Whitley Bay pada petang Jumaat lalu. 

Rakaman video disiarkan di platform Snapchat menunjukkan mangsa, Ruby, 13, ditumbuk dan ditendang di bahagian kepala selama kira-kira 15 minit oleh dua remaja perempuan. 

Ibu saudara mangsa, Tammie Barclay berkata, kumpulan itu meminta sebanyak £10 (RM58) dan memukul Ruby sehingga dia menyerahkan wang tersebut. 

“Selain patah pergelangan tangan, sebahagian rambutnya turut dicabut,” tambah Barclay. 

Polis Northumbria berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan berhubung gangguan di Stesen Metro Wallsend sekitar pukul 7.55 malam (waktu tempatan). 

“Pelaku yang terlibat sudah meninggalkan kawasan itu sebelum ketibaan polis. 

“Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Dia kini dibenarkan pulang ke rumah dan dibantu oleh polis,” tambah Barclay. – AGENSI