MADRID – Anugerah Ballon d’Or 2024 terpalit dengan kontroversi apabila diboikot pasukan gergasi La Liga, Real Madrid yang tidak berpuas hati apabila pemainnya, Vinicius Junior tidak dipilih sebagai pemenang.
Sebaliknya, pemain tengah Manchester City, Rodri dipilih sebagai pemenang anugerah berprestij itu meskipun sebelum ini Vinicius disebut-sebut bakal memenanginya selepas membantu Real muncul juara banyak pertandingan.
Real mendakwa penganjur Ballon d’Or dan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) tidak menghormati pasukan itu kerana memilih Rodri sebagai pemenang, sekali gus menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk tidak hadir ke majlis awal pagi semalam.
“Sekiranya kriteria sebagai pemenang tidak ada pada Vinicius, maka Dani Carvajal juga layak untuk memenangi anugerah tersebut. Bagaimanapun, ia bukanlah sebab utama kami tidak hadir ke majlis.
“Bagi kami, keadaan ini sangat jelas bahawa Ballon d’Or dan UEFA tidak menghormati Real Madrid. Seperti biasa, Real Madrid tidak akan pergi ke tempat di mana kami tidak dihormati,”kata kelab itu menerusi satu kenyataan.
Menerusi keputusan itu, Rodri dipilih sebagai pemenang Ballon d’Or 2024 dengan Vinicius berada di kedudukan kedua, manakala tempat ketiga menjadi milik seorang lagi pemain Real, Jude Bellingham.
Beberapa pemain serta bekas pemain Real seperti Aurelien Tchouameni, Eder Militao dan Toni Kroos menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan itu dengan memuat naik status di laman Instagram masing-masing.
“Anda (Vinicius) adalah yang terbaik dan tidak ada sesiapa boleh merampas status tersebut daripada anda,”tulis Militao menerusi status yang dimuat naik.
Meskipun Vinicius tidak memenangi Ballon d’Or, namun Real tidak berputih mata apabila mereka masih dipilih sebagai Pasukan Terbaik Tahunan atas kejayaan memenangi Liga Juara-Juara (UCL) buat kali ke-15.
Selain itu, jurulatihnya, Carlo Ancelotti turut memenangi Trofi Johan Cruyff sebagai jurulatih terbaik lelaki dan penyerang, Kylian Mbappe berkongsi Trofi Gerd Muller bersama pemain Bayern Munich, Harry Kane. – AGENSI