DUBAI – Seorang pesohor media sosial menguji tahap keselamatan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan meletakkan seutas rantai emas dan subang pada badan sebuah kereta BMW di Dubai, lapor portal berita The Economic Times kelmarin.
Leylafshonkar melakukan percubaan beraninya di Jalan Satwa Dubai. Lokasi sibuk itu popular dengan restoran dan kedai pakaian yang meriah.
Dia meletakkan barang kemas itu untuk menguji tingkah laku orang yang lalu lalang.
Leylafshonkar kemudian pergi ke sebuah kedai barang kemas berdekatan bagi memantau keadaan.
Walaupun ramai orang melintasi kawasan itu, tiada sesiapa cuba mengambil barang kemas tersebut.
Namun, seorang individu mengutip subang yang terjatuh dan meletakkannya semula di tempat asalnya.
Eksperimen itu membuatkan wanita berkenaan terkejut. Katanya, tahap keselamatan di Dubai tiada tandingan, membuatkan dia kagum terhadap bandar raya tersebut. – AGENSI