WASHINGTON – Siri animasi komedi, The Simpsons membuat beberapa ramalan luar biasa yang menjadi kenyataan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lapor portal berita MailOnline semalam.
Antara ramalan pernah dipaparkan dalam kartun tersebut adalah Donald Trump dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2024.
Dalam episod 2000 bertajuk ‘Bart to the Future’, Lisa Simpson menjadi Presiden AS.
Bapanya, Homer Simpson dilihat terbang melepasi papan iklan tertera slogan: ‘Trump 2024.’
16 tahun kemudian, Trump dipilih sebagai Presiden AS ke-45, menjadikan ia salah satu ramalan paling terkenal daripada rancangan tersebut.
Selain itu, The Simpsons menawarkan petunjuk tentang jawatan bekas Naib Presiden, Kamala Harris memakai pakaian pilihan Lisa.
Harris menghadiri majlis angkat sumpah Joe Biden pada 2021 dengan memakai pakaian berwarna ungu terang bersama aksesori kalung mutiara.
Busana itu sama seperti pakaian yang dipakai oleh Lisa dalam episod 2000 kartun tersebut.
The Simpsons turut meramalkan penularan koronavirus, 27 tahun sebelum pandemik Covid-19 menular.
Dalam episod dari tahun 1993, sesuatu yang dipanggil ‘selesema Osaka’ merebak melalui Springfield selepas penduduk memesan peralatan jus dari Jepun.
Episod 2012 musim ke-23 bertajuk ‘Them, Robot’ memaparkan Homer hilang pekerjaan di loji nuklear selepas majikannya menggantikan semua kakitangan dengan robot.
Lebih dua dekad kemudian, dunia menyaksikan perkembangan pesat teknologi kepintaran buatan (AI), menyebabkan robot berfungsi sebagai pelayan di Jepun di samping kereta pandu sendiri Tesla. – AGENSI