Ramalan cuaca Britain suhu 400 Celsius, angin 14,000 km sejam

bbc ramal cuaca salah

Gambar menunjukkan data yang salah dari aplikasi ramalan cuaca BBC. – BBC

LONDON – Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) memohon maaf kepada orang ramai  selepas aplikasi  cuacanya membuat ramalan yang menakutkan, lapor portal berita Sky News kelmarin.

Data luar biasa itu menunjukkan London akan dilanda taufan, manakala Nottingham pula mencatatkan suhu melebihi 400 darjah Celsius. 

Ketua Penyampai Ramalan Cuaca BBC yang juga ahli meteorologi, Simon King berkata, data tersebut sedang dikaji semula. 

“Jangan risau dengan beberapa data dalam aplikasi kami pada pagi ini (kelmarin). Tidak akan ada angin mencapai kelajuan 14,408 kilometer sejam atau suhu semalaman mencecah 404 darjah Celcius. 

“Ia sedang dikaji dan diharapkan selesai dengan secepat yang mungkin,” kata King.

Beliau menambah bahawa grafik itu telah menyebabkan ‘sedikit kekeliruan’, terutamanya ketika  Taufan Milton yang membawa angin kencang ke negeri Florida di Amerika Syarikat. 

Ahli meteorologi BBC, Matt Taylor berkata: “Terdapat gangguan data antara pembekal dan aplikasi. Kami sedang berusaha untuk menyelesaikan isu itu.

“Orang ramai tidak perlu panik membeli papan lapis atau lilin,” tambah Taylor. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *