BANGKOK – Pelancong Malaysia adalah yang paling ramai melawat Thailand semasa perayaan Songkran dari Sabtu lalu hingga Selasa lepas, lapor sebuah portal berita semalam.
Menurut penolong jurucakap kerajaan, Sasikarn Watthanachan, ia diikuti oleh pelancong dari China, India, Russia dan United Kingdom (UK).
Pada satu taklimat akhbar, beliau mendedahkan bahawa 102,106 rakyat Malaysia melawat Thailand semasa perayaan Songkran, diikuti oleh 82,274 (China), 55,158 (India), 40,283 (Russia) dan 32,119 dari UK.
Sasikarn berkata, bilangan warga China, India, Malaysia dan Russia yang memasuki Thailand meningkat masing-masing sebanyak 28.20 peratus, 23.56 peratus, 10.67 peratus dan 8.40 peratus.
Bagaimanapun, ketibaan pelawat dari UK merosot sedikit kali ini iaitu sebanyak 8.49 peratus.
Sementara itu, beliau berkata, antara 1 Januari dan 13 April lalu, Thailand menerima kedatangan 10,738,424 pelawat asing dan menjana pendapatan lebih 516.58 bilion baht (RM68 bilion).
Lima negara dengan jumlah pengunjung tertinggi ke Thailand setakat ini ialah China (1,470,834), Malaysia (1.33 juta), Russia (801,532), India (631,820) dan Korea Selatan (533,752). – AGENSI