Rakyat Maghribi tidak lakukan ibadah korban tahun ini

RIBI scaled

WANITA membeli buah sebagai persediaan menjelang Aidiladha di sebuah pasar di kawasan Rabat kelmarin. – AFP

RABAT – Ketika Hari Raya Aidiladha semakin menjelang, Fatima Kharraz hilang keterujaan selepas pemerintah Maghribi menggesa orang ramai untuk tidak menyembelih haiwan korban, khususnya biri-biri pada tahun ini disebabkan kemarau teruk.

Gesaan itu dibuat ketika Maghribi mengalami kemarau selama tujuh tahun berturut-turut, menyaksikan bilangan haiwan ternakan merosot.

“Kami tiada keterujaan seperti selalu,” kata Fatima.

Wanita berumur 52 tahun itu bagaimanapun memberitahu melakukan korban pada tahun ini memerlukan belanja tinggi selepas harga biri-biri melonjak tahun lalu.

“Kami tidak mampuuntuk  melakukan korban pada tahun ini,” katanya.

Walaupun bukan wajib, ibadah korban sangat digalakkan dan dilakukan  oleh ramai orang Islam di seluruh dunia.

Lewat Februari lalu, pemerintah Maghribi, Raja Mohammed VI menyebut tentang ‘cabaran iklim dan ekonomi’  semasa mengumumkan langkah tersebut.

Menurutnya, cabaran itu menyebabkan pengurangan ketara bilangan haiwan ternakan di Maghribi.

Negara Afrika Utara dengan populasi 37 juta itu pada kebiasaannya, menyembelih hingga enam juta biri-biri semasa sambutan Hari Raya Aidiladha pada setiap tahun. – AFP