Raja Thailand lantik Paetongtarn Shinawatra PM baharu 

lantik rasmi

Paetongtarn tiba untuk upacara pengesahan diraja yang melantiknya sebagai Perdana Menteri Thailand yang baharu, di Bangkok hari ini. – AFP

BANGKOK – Raja Thailand pada hari ini secara rasmi melantik Paetongtarn Shinawatra sebagai Perdana Menteri baharu negara itu.

Paetongtarn merupakan anak perempuan jutawan kontroversi yang juga bekas perdana menteri yang digulingkan, Thaksin Shinawatra.

Beliau menerima perintah bertulis rasmi Raja Maha Vajiralongkorn untuk membentuk kerajaan dalam satu majlis di ibu pejabat bekas stesen televisyen pro-Thaksin sejurus selepas pukul 9.30 pagi (waktu tempatan).

Ia sekali gus menjadikan Paetongtarn, 37, Perdana Menteri termuda Thailand.

Paetongtarn mula memegang jawatan tersebut selepas Mahkamah Perlembagaan memecat Srettha Thavisin pada minggu lepas kerana melanggar peraturan etika dengan melantik menteri Kabinet yang mempunyai sabitan jenayah.

Dengan pelantikan tersebut, Paetongtarn kini mengetuai kerajaan gabungan yang diketuai oleh parti Pheu Thai serba baharu, yang diasaskan oleh Thaksin pada awal 2000-an.

Beliau juga merupakan ahli keluarga Shinawatra ketiga yang menjadi perdana menteri, tetapi berharap dapat mengelak nasib sama yang menimpa bapa dan ibu saudaranya, Yingluck.

Kedua-dua mereka disingkirkan dalam rampasan kuasa tentera. – AFP 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *