PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak akhirnya mencapai deklarasi bersama bagi kelangsungan industri minyak dan gas di negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua pihak akhirnya dapat memeterai satu persefahaman yang baik ke arah memajukan Malaysia dan Sarawak melalui Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd. (Petros).
Beliau berkata, persefahaman mengenai perkara ini telah lama disepakati setelah berunding dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini.
“Kami (saya dan Abang Johari) telah mendapat paramater jelas mengenai Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan Ordinan Pengedaran Gas (DGO).
“Keadaan terkini menunjukkan kita (kerajaan) menerima kenyataan bahawa Sarawak berkembang lebih matang dan mempunyai keupayaan termasuk mendirikan syarikat minyak negeri yang juga mempunyai potensi besar,”katanya pada sidang akhbar bersama di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Katanya, beliau menegaskan bahawa peranan Petronas tidak akan tergugat dan masih meneruskan peranannya seperti biasa. – https://amiminerals.org/