Puluhan aktivis pro-Palestin ditahan di Amsterdam

aktivis ditahan

Seorang aktivis pro-Palestin ditahan polis selepas mengadakan protes di Amsterdam. – EPA

AMSTERDAM – Berpuluh-puluh aktivis pro-Palestin ditahan selepas mengingkari arahan untuk menghentikan protes di ibu negara Belanda, Amsterdam, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam. 

Ratusan orang berkumpul di Dam Square untuk menggesa agar pembunuhan beramai-ramai di Semenjung Gaza dihentikan, selain meluahkan kemarahan terhadap larangan untuk mengadakan demonstrasi. 

Demonstrasi diharamkan buat sementara waktu oleh Datuk Bandar selepas penyokong bola sepak Israel menjadi sasaran dalam serangan pada perlawanan antara pasukan Tel Aviv Maccabi dan Ajax Amsterdam pada Khamis lalu. 

Menurut pihak berkuasa, serangan itu menyebabkan lima orang cedera dan dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. 

Ketua Polis Belanda, Peter Holla berkata, terdapat insiden ‘di kedua-dua belah pihak’, termasuk penyokong Israel yang mencabut bendera Palestin dari dinding lalu membakarnya, serta menyerang sebuah teksi.

Namun, penunjuk perasaan kelmarin berhujah bahawa mereka sepatutnya bebas untuk menyuarakan bantahan terhadap tindakan Israel di Gaza dan tindakan penyokong Maccabi.

“Bantahan ini tidak ada kaitan dengan anti semitisme,” kata salah seorang penunjuk perasaan,  Alexander van Stokkum kepada agensi berita AFP.

“Ia menentang tindakan samseng individu dari Israel yang merosakkan bandar kami,” tambahnya.

Datuk Bandar Amsterdam, Femke Halsema mengumumkan larangan perhimpunan awam bermula Jumaat lalu sehingga kelmarin kerana bandar itu dianggap ‘kawasan keselamatan berisiko tinggi’. – AGENSI