Pulang buku selepas 51 tahun dipinjam

AS buku 1 scaled

BUKU Lombardi: Winning is the Only Thing dipulangkan selepas dipinjam 51 tahun lalu. – Foto Perpustakaan Memorial Benson 

WASHINGTON – Seorang peminjam di sebuah perpustakaan negeri Pennsylvania memulangkan semula sebuah buku yang telah dipinjam selama 51 tahun, lapor agensi berita United Press International (UPI) semalam.

Buku berjudul Lombardi: Winning is the Only Thing itu disunting oleh Jerry Kramer dan dipinjam oleh seorang lelaki pada 26 Julai 1973 tetapi hanya dikembalikan ke Perpustakaan Memorial Benson di Titusville, baru-baru ini.

“Walaupun kami tidak lagi mengenakan denda tertunggak sejak 2021, peminjam buku yang baik ini mengira jumlah denda yang sepatutnya, menambah kadar faedah dan mendermakannya kepada perpustakaan,”kata pihak perpustakaan itu di media sosial.

Pengarah Eksekutif Perpustakaan Memorial Benson, Jessica Hilburn berkata, buku itu tidak akan dipinjamkan kepada bakal peminjam lain tetapi akan dipamerkan kepada orang awam.

“Sangat menyenangkan untuk berkongsi rasa cintanya (peminjam buku itu) terhadap perpustakaan. 

“Walaupun 51 tahun selepas meminjam buku terakhirnya, dia masih mengingati perpustakaan dan menghargai perkhidmatan yang kami berikan,”kata Hilburn kepada akhbar Erie Times-News. – AGENSI