PETALING JAYA – Program Mentor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Nestle Malaysia Berhad (Nestle) yang disertai oleh syarikat tempatan telah memberi impak positif kepada pengoperasian perniagaan mereka malah mampu membuka jalan kepada perolehan lebih banyak peluang perniagaan baharu dalam industri tersebut.
Salah sebuah syarikat yang menyertainya iaitu Alfa Packing & Customise Sdn. Bhd. (Alfa Packing) mendapati melalui pensijilan halal tersebut ia telah berjaya meningkatkan Amalan Pengilangan Baik (GMP) serta pengurusan Kualiti dan Keselamatan Makanan.
Pengarah Urusan syarikat, Chan Kim Fatt berkata, pihaknya juga kini telah berjaya memperolehi dua sijil halal iaitu salah satunya di bawah skim Skim Pengilangan Kontrak (OEM) dan satu lagi di bawah Skim Makanan dan Minuman.
“Kami turut berbesar hati menjadi sebahagian daripada Pertukaran Data Etika Pembekal (SEDEX), sebuah organisasi global yang mengiktiraf amalan perniagaan beretika dan bertanggungjawab dalam kalangan pembekal. Kami menjalani audit pembaharuan untuk memastikan kami terus mengekalkan piawaian tertinggi,” katanya di sini baru-baru ini.
Alfa Packing yang terletak di Taman Halal Pedas di Rembau, Negeri Sembilan telah memulakan operasi pada tahun 2015 dan terlibat dalam pelbagai bidang termasuk pengilang kontrak (co-packer), pergudangan, serta perdagangan bahan mentah kering, perkakasan, alat ganti dan peralatan.
Selain itu, Pengasas syarikat Serantau Desa, Azlin Mohamed Idris menerangkan, sebagai sebuah syarikat yang terbabit dalam penjualan produk makanan sejuk beku tempatan, program berkenaan telah banyak membantu beliau mengembangkan bisnesnya dengan pesat.
Jelas beliau, bimbingan secara individu dan pemeriksaan bulanan sangat membantu ntuk membolehkan mereka membuat keputusan dan memperbaiki kaedah kerja sedia ada.
“Melalui program mentor ini, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti kami menerima bimbingan serta coaching dalam proses pemprosesan daripada peringkat awal, termasuk penyediaan dokumen e-Halal sehingga ke proses audit oleh Jakim, yang akhirnya membolehkan syarikat kami memperoleh sijil halal,” ujarnya.
Tambah beliau, melalui sijil halal, syarikat kini lebih mudah mengembangkan produk ke pasaran tempatan, dan keyakinan pengguna terhadap produk keluaran turut meningkat.
“ Walaupun kami telah lama memperoleh sijil halal sebelum menyertai program Nestlé, JAKIM sentiasa mengemas kini maklumat terkini.
Dahulu, kami jarang memantau laman web untuk mendapatkan maklumat terbaharu, namun dengan adanya program ini, kini kami boleh terus merujuk kepada pihak Nestlé untuk sebarang kemas kini yang diperlukan.
“Melalui prinsip Halalan Toyyiban, kami telah menerapkan amalan kawalan kualiti dan kebersihan yang kukuh, bimbingan daripada Nestlé juga secara tidak langsung telah membantu meningkatkan produktiviti kami,” jelasnya. -https://amiminerals.org/