SEOUL – Pasukan penyiasat Korea Selatan menyatakan semalam bahawa mereka akan melaksanakan waran tangkap terhadap Presiden Yoon Suk-yeol kerana mengisytiharkan undang-undang tentera dan memberikan tarikh akhir 6 Januari ini untuk beliau hadir memberi keterangan.
Penyokong dan penentang Suk-yeol berkampung di luar Istana Presiden di mana beliau berkubu selama berminggu-minggu dan menghalang pihak berkuasa menyoal siasat pemimpin berkenaan.
Pejabat Siasatan Rasuah (CIO) meminta waran tangkap selepas Suk-yeol gagal hadir memberi keterangan buat kali ketiga tetapi tidak jelas sama ada mereka akan melaksanakannya selepas Perkhidmatan Keselamatan Presiden enggan mematuhi perintah tersebut.
Ketua CIO, Oh Dong-woon berkata, waran tangkap itu akan dilaksanakan dalam tempoh tarikh akhir 6 Januari atau Isnin ini.
“Kami mahukan prosedur ini lancar tanpa gangguan besar tetapi kami juga menyelaraskan untuk mengerahkan pasukan polis sebagai persediaan,” katanya kepada pemberita.
Dong-woon memberi amaran akan mendakwa sesiapa yang cuba menghalang pihak berkuasa menangkap Suk-yeol.
“Kami menganggap perbuatan seperti mengadakan penghalang dan mengunci pintu pagar untuk menghalang pelaksanaan waran tangkap ini sebagai mengganggu tugas rasmi.
“Sesiapa yang melakukan perkara ini boleh didakwa,” katanya.
Pihak berkuasa Korea Selatan sebelum ini gagal melaksanakan waran tangkap terhadap anggota Parlimen.
Pada 2000 dan 2004, penyokong parti politik terbabit menghalang pasukan polis selama tujuh hari iaitu tempoh kuatkuasa waran itu tamat. – AFP