Polis siasat insiden hantu dipersalahkan ‘order’ KFC

hantu kfc

Pelanggan tersebut enggan membayar wang sebanyak 850 baht bagi KFC yang dihantar oleh Penapha. – Khaosod

BANGKOK – Seorang penghantar makan (rider) membuat laporan polis selepas pelanggannya enggan membayar penghantaran hidangan KFC yang ditempah, sebaliknya mendakwa bahawa makanan itu dipesan oleh hantu, lapor laman berita Thaiger semalam.

Anggota dari Balai Polis Don Hua Lo di wilayah Chon Buri tiba di lokasi kejadian kelmarin selepas menerima aduan sekitar pukul 11.30 malam (waktu tempatan).

Rider wanita dikenali sebagai Penapha itu berkata, pelanggan berkenaan enggan membayar wang sebanyak 850 baht (RM108) bagi KFC yang dipesan.

Menurut pelanggan pula, dia sedang tidur sebelum rider tersebut tiba serta menegaskan bahawa dia tidak memesan makanan itu.

Tambah lelaki tersebut, dia percaya  roh mendiang teman wanitanya merasuki badannya lalu memesan KFC menggunakan platform online.

“Pelanggan memesan KFC bernilai 850 baht dan memilih untuk membayar semasa penghantaran (COD). 

“Namun, sejurus saya tiba, dia berkata bahawa dia tidak mempunyai wang dan hantu telah memesan makanan itu. Dia juga mengancam dengan berkata bahawa jika dia terlalu lapar, dia mungkin membunuh seseorang,” kata Penapha.

Selepas menyoal siasat, polis percaya bahawa lelaki tersebut mungkin menghadapi masalah mental.

Polis juga membayar pampasan sebanyak 850 baht kepada  Penapha atas kerugian yang dialaminya. – AGENSI 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *