LOS ANGELES, California – Satu rampasan besar-besaran ganja menyebabkan polis Amerika Syarikat terkejut selepas mereka menemui dadah bernilai AS$100 juta (RM445 juta) itu dibungkus rapi tetapi tanpa pemiliknya.
Polis dipanggil ke sebuah hartanah di Oak Hills, California oleh beberapa jiran yang menghidu bau kuat dari sebuah gudang baru siap dibina.
Apabila masuk ke dalam gudang, polis mendapati bangunan berkeluasan 450 meter persegi itu penuh dengan beg-beg sampah berisi ganja.
Anggota-anggota polis mengambil masa dua hari dan menggunakan 51 buah trak untuk memindahkan 3,000 beg berkenaan yang keseluruhannya seberat 45 tan.
Bagaimanapun, pemilik narkotik tersebut masih misteri, kata polis.
Detektif Chris Bassett daripada Jabatan Sherif County San Bernadino mengaku bahawa polis terkejut dengan penemuan itu.
Ketika ditanya wartawan sama ada polis mempunyai sebarang maklumat tentang pemilikan dadah tersebut, Bassett menjawab: “Tidak pada masa sekarang”.
“Perkara pertama bermain di fikiran adalah ke mana ganja ini akan dihantar? Adakah ia akan dihantar ke pusat-pusat pengagihan haram atau diedarkan ke seluruh Amerika Syarikat?,” katanya.
Ganja bagi tujuan perubatan dan rekreasi dibenarkan di California tetapi penanaman secara komersial memerlukan permit pihak berkuasa. – AFP