Polis maut dihentak guna barbel kerana hutang RM40

polis barbel

Penduduk berkumpul di rumah yang menjadi lokasi mayat mangsa ditemukan. – Tribun Jambi

JAKARTA – Seorang pegawai polis di Muaro Jambi, wilayah Jambi maut akibat dihentak di kepala menggunakan besi barbel selepas dia meminta hutang daripada rakannya yang berjumlah 150,000 rupiah (RM40), lapor laman berita Tribunnews kelmarin.

Mayat Aipda Hendra Marta Utama ditemukan dalam keadaan terbaring di ruang tepi rumah dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar jeans panjang.

Pengarah Siasatan Jenayah Am Polis Jambi, Pesuruhjaya Kanan Manang Soebeti berkata, suspek dan mangsa saling mengenali.

“Suspek dikenali sebagai N, melakukan pembunuhan kerana pertikaian mengenai wang. Dia memukul mangsa menggunakan barbel,” katanya.

Tambah Manang, mereka pada awalnya berbual santai, namun keadaan menjadi tegang apabila mangsa meminta hutang.

“Suspek yang tersinggung menolak mangsa sehingga kepalanya terkena objek keras.

“Suspek kemudian mengambil barbel kecil dan menghentaknya pada kepala mangsa sebanyak dua kali sehingga dia mati di tempat kejadian,” katanya.

Berdasarkan siasatan, insiden berlaku pada 18 Mei lalu sebelum mayat mangsa ditemukan dua hari kemudian selepas penduduk mengadu terhidu bau busuk.

Suspek telah ditangkap dan kini ditahan untuk tindakan lanjut. – AGENSI