Polis Korea Selatan serbu pejabat Presiden

serbu presiden 1

Kereta polis dipandu melepasi penghadang yang dipasang di jalan menuju ke Pejabat Presiden Korea Selatan dan Kementerian Pertahanan di Seoul pada 4 Disember lalu. – AFP

SEOUL – Polis Korea Selatan menyerbu pejabat Presiden Yoon Sook-yeol ketika siasatan terhadap pengisytiharan undang-undang tentera minggu lalu semakin giat dijalankan.

“Pasukan Siasatan Khas telah melakukan serbuan ke atas pejabat Presiden, Agensi Polis Negara, Agensi Polis Metropolitan Seoul dan Perkhidmatan Keselamatan Dewan Negara,” kata polis dalam pesanan yang dihantar kepada AFP.

Sook-yeol sudah pun berada di bawah larangan perjalanan sebagai sebahagian daripada siasatan ‘pemberontakan’ ke atas sekutu-sekutu rapat dalamannya, selepas beliau mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu.

Sementara itu, bekas menteri pertahanan, Kim Yong-hyun secara rasmi ditangkap lewat semalam atas tuduhan melibatkan diri dalam tugas kritikal semasa pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa untuk menghalang pelaksanaan hak-hak.

Pada hari ini, agensi berita Yonhap melaporkan, Yong-hyun cuba menamatkan riwayatnya sendiri sejurus sebelum dia ditahan.

Jurucakap Mahkamah Daerah Pusat Seoul memberitahu AFP pada awal hari ini bahawa  Yong-hyun diberkas di tengah-tengah kebimbangan bahawa bukti mungkin dimusnahkan.

Dia bagaimanapun berkata melalui peguamnya: “Semua tanggungjawab untuk situasi ini terletak pada saya semata-mata. Orang bawahan hanya mengikut perintah saya dan memenuhi tugas yang diberikan kepada mereka.”

Yong-hyun yang ditahan Ahad lalu, telah dikenakan larangan perjalanan bersama bekas menteri dalam negeri dan jeneral yang bertanggungjawab dalam operasi undang-undang tentera.

Selain itu, Ketua Pesuruhjaya Agensi Polis Kebangsaan Korea, Cho Ji-ho dan Ketua Agensi Polis Metropolitan Seoul, Kim Bong-si turut ditahan awal hari ini, kata polis. – AFP