Polis ‘kantoi’ dirakam CCTV curi jajan

polis curi jajan

Spence dirakam memasukkan kacang, keju, minuman dan makanan lain berharga £30 (RM170) ke dalam beg. – Polis Devon dan Cornwall/SWNS

LONDON – Seorang pegawai polis di United Kingdom mengaku bersalah di mahkamah atas pertuduhan mencuri beberapa makanan ringan dari sebuah rangkaian pasar raya, lapor akhbar Metro UK semalam.

Perbuatan Christopher Spence, 44, dirakam menerusi kamera televisyen litar tertutup (CCTV) gedung Lidl di Bideford, Devon pada 12 Februari lalu.

Dia dilihat berjalan mengelilingi pasar raya itu dengan memasukkan kacang, keju, minuman dan makanan lain berharga £30 (RM170) ke dalam beg sebelum berlalu pergi selepas membayar hanya satu item pada kaunter daftar keluar sendiri.

Kakitangan Lidl mengenali tertuduh berdasarkan lawatannya ke premis tersebut sebagai pegawai polis sebelum itu.

Tertuduh pada mulanya menafikan tuduhan mencuri, sebaliknya mendakwa dia meninggalkan barang-barang itu di dalam bakul pasar raya apabila menyedari tidak membawa kad bank yang sepatutnya.

Namun, rakaman CCTV membongkarkan perbuatannya, membuatkan dia menukar pengakuan kepada bersalah.

Tertuduh diperintah menjalani aktiviti khidmat masyarakat selama 18 bulan, yang memerlukannya menyelesaikan 150 jam kerja tanpa gaji.

Pegawai polis tersebut yang telah digantung tugas sejak ditangkap, turut menghadapi prosiding salah laku dalam pasukannya. – AGENSI