JAKARTA – Isteri seorang anggota polis kecewa apabila menangkap suaminya berdua-duaan dengan seorang guru di sebuah rumah tumpangan di Garut, wilayah Jawa Barat, lapor laman berita RM News semalam.
Berdasarkan sebuah video yang dimuat naik di platform X, wanita sarat hamil itu cuba membuka pintu bilik sambil ditemani pemilik rumah tumpangan tersebut.
“Buka, siapa di dalam? Kalau berdiam diri maksudnya anda bersalah,” kata si isteri.
Sejurus pintu dibuka, kelihatan si suami berada bersama teman wanitanya.
Wanita itu malah terburu-buru menyarung pakaian seragam penjawat awam ketika mereka ditangkap ketika waktu bekerja.
Selepas kejadian itu, si suami dilaporkan melarikan diri, manakala isterinya dirawat kerana terkejut.
Sementara itu, bahagian Perhubungan Awam Polis Garut berkata, anggota terbabit telah dikenakan tindakan tegas dan pada masa sama, siasatan sedang dijalankan berhubung insiden tersebut.
“Pelaku sudah dikenakan tindakan tegas dan ditahan serta disoal siasat,” kata akaun @HumasGarut pada X. – AGENSI