BOGOTA – Seorang gadis yang merupakan pembunuh upahan dan mempunyai wajah persis anak patung diberkas selepas terlibat dalam kes pembunuhan bekas kekasihnya, lapor akhbar New York Post semalam.
Karen Julieth Ojeda Rodriguez, 23, dikenali sebagai ‘The Doll’ dikehendaki polis Colombia berhubung beberapa kes pembunuhan berprofil tinggi di perbandaran Barrancabermeja.
Menurut polis tempatan, Karen ditangkap selepas bekas teman lelakinya, Deyvy Jesus ditembak dua lelaki yang menunggang motosikal atas arahannya di kawasan luar bandar Piedecuesta.
Pada hari kejadian, Karen menghubungi Deyvy dan menjemputnya untuk bertemu untuk menyelesaikan pertikaian mengenai wang, kata polis.
Karen ditangkap bersama rakan penjenayah, Paula Valentina Joya Rueda, 24, yang dikenali dengan nama Gorda Sicari, demikian menurut akhbar Libertad Digital.
Seorang lagi rakan penjenayah The Doll dikenali sebagai Leopoldo ditahan pada masa yang sama dengan gadis itu dengan polis berkata, mereka turut merampas sepucuk revolver dan pistol 9 milimeter semasa serbuan. – AGENSI