LONDON – Sepasang suami isteri di England terkejut apabila sejenis tumbuhan terancam yang menghasilkan makanan untuk spesies dinosaur akhirnya berbuah, lapor portal berita GNN kelmarin.
Dikenali sebagai pokok dinosaur atau nama saintifiknya, wollemi pine, tumbuhan itu ditanam oleh Pamela dan suaminya, Alistair Thompson di kebun mereka di Malvern Hills, daerah Worcestershire.
Pamela dan suaminya pertama kali membeli anak pokok itu setinggi 45.72 sentimeter pada harga £70 (RM408) daripada seorang rakan mereka pada 2010.
“Selepas bertahun-tahun dijaga dengan penuh kasih sayang, pokok ini kini memiliki ketinggian lebih 4 meter dan berbuah pertama kali pada musim bunga tahun ini.
“Ia sangat menakjubkan untuk mempunyai benih daripada pokok paling jarang ditemui di dunia,” tambah Pamela.
Selain berharap untuk menanam lebih banyak pokok dinosaur, mereka juga akan membuka kebun kepada orang ramai yang ingin melihat tumbuhan istimewa itu. – AGENSI