Piala Sudirman: Malaysia sedia cabar Jepun

BADMINTON 5

AARON-Wooi Yik akan menjadi sandaran skuad negara untuk mengutip mata menjelang aksi menentang Jepun hari ini.

SKUAD badminton negara bersedia untuk mencabar Jepun bagi memburu tempat selaku juara peringkat Kumpulan C dalam aksi terakhir Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China, hari ini.

Pada aksi peringkat kumpulan, skuad negara mempersembahkan aksi terbaik dalam dua perlawanan awal dengan menundukkan Perancis 5-0 sebelum melakar kemenangan bergaya 4-1 ke atas Australia sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Sudirman 2025.

Bagaimanapun, skuad negara perlu waspada menghadapi Jepun selepas pasukan lawan mempamerkan aksi cemerlang dengan mencipta dua kemenangan bersih 5-0 ke atas Australia dan Perancis.

Beregu lelaki negara, Aaron Chia menegaskan, misi utama skuad negara kini adalah menundukkan Jepun untuk mengungguli carta kumpulan dan memperoleh laluan lebih baik di peringkat kalah mati.

“Saya rasa tak banyak perbincangan untuk perlawanan, kita fokus sahaja. Jangan pandang rendah lawan sebab kita ada perlawanan lagi. Kena tengok keadaan di gelanggang dan cuba beri yang terbaik.

“Perlawanan seterusnya kita akan berdepan Jepun, kita cuba untuk menang untuk dan jadi juara kumpulan,” katanya.

Rakan sepasukannya, Soh Wooi Yik pula menekankan kepentingan mengekalkan intensiti dan tempo permainan tinggi ketika menentang pasukan pilihan itu.

“Saya fikir kami perlu cuba tingkatkan kelajuan dan momentum untuk dapatkan rentak yang sebenarnya. Aksi menentang Australia agak perlahan tetapi kami naikkan tempo untuk sesuaikan diri,”katanya.

Jepun dijangka turun dengan barisan terkuat termasuk perseorangan lelaki seperti Koki Watanabe dan Kodai Naraoka, selain dibarisi pemain wanita bertaraf dunia seperti Akane Yamaguchi dan Tomoka Miyazaki yang berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa kalah setakat ini.