PIHAK pengurusan Selangor FC bersedia untuk ‘muhasabah diri’ selepas menyaksikan Gergasi Merah tewas memalukan 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala FA 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon menyifatkan keputusan tersebut membuka ruang buat pasukan kendalian Nidzam Jamil untuk bangkit menjadi kelab yang boleh mencabar kejuaraan.
Kata Johan, barisan pemain telah memberikan yang terbaik dalam aksi final Piala FA, tetapi di atas padang jelas pasukan lawan lebih berpengalaman.
“Sudah pasti pengalaman yang dimiliki JDT membuatkan mereka lebih selesa bermain di final, Selangor kena belajar untuk perbaiki kekurangan untuk perlawanan akan datang.
“Rata-rata pemain sudah memberikan yang terbaik, sudah tentu kita kecewa kerana tidak berjaya berikan sesuatu yang istimewa buat peminat yang ternanti-nanti perlawanan ini.
“Kita akan bekerja keras dan cuba lagi dalam perlawanan akan datang termasuk Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
“Maaf buat peminat kerana kita gagal beri keputusan lebih baik kali ini,” kata Johan ketika ditemui Kosmo!.