LONDON – Petani-petani di United Kingdom (UK) berdoa untuk meminta hujan ketika UK mengalami musim bunga paling kering dalam tempoh lebih 100 tahun, menyebabkan tanah menjadi kering kontang dan tanaman terbantut akibat kekurangan air.
Di ladang miliknya seluas 400 hektar (988 ekar) dekat bandar Peterborough, timur England, Luke Abblitt dengan sedih meninjau ladang lobak bit dan kentangnya yang ‘dahagakan’ air dan bergelut untuk tumbuh.
Abblit berkata, tiada setitik hujan pun turun sejak Mac lalu.
“Saya tidak pasti bagaimana saya dapat menangani kemarau ini, saya berharap hujan akan turun, jika tidak, saya perlu melakukan sesuatu yang ‘ajaib’,” kata Abblitt, 36, kepada AFP.
Tunas hijau lobak bit yang menembusi tanah retak dan berdebu di ladang sepatutnya sekurang-kurangnya dua kali ganda saiznya berbanding sekarang, keluh petani itu.
Di ladang bersebelahan, dia baru sahaja menanam kentang dengan bantuan ayahnya, Clive, yang bersusah payah membajak tanah yang keras.
Cuma 80.6 milimeter hujan turun sejak permulaan musim bunga, meliputi bulan Mac, April dan Mei, demikian menurut agensi cuaca UK, Met Office.
Angka itu jauh lebih kecil di bawah paras terendah sepanjang masa iaitu 100.7 milimeter yang direkodkan pada tahun 1852, kata Met Office.
Menurut Agensi Alam Sekitar, paras takungan-takungan air di Britain jatuh ke tahap ‘sangat rendah’. – AFP