SAN DIEGO, CALIFORNIA – Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh, manakala lapan lagi cedera selepas pesawat ringan terhempas di sebuah kejiranan di negeri California, Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar Metro UK semalam.
Nahas berlaku sekitar pukul 4 pagi (waktu tempatan) di kawasan perumahan untuk anggota keluarga Tentera Laut Amerika Syarikat di Murphy Canyon dekat bandar San Diego.
Kejadian itu memaksa 100 penduduk berdekatan berpindah, demikian menurut Jabatan Polis San Diego di laman X.
Kesemua mangsa yang terkorban merupakan penumpang di dalam pesawat.
Penolong Ketua Jabatan Bomba San Diego, Dan Eddy mengesahkan 15 rumah rosak dalam nahas itu.
“Apabila pesawat ini menghentam jalan, bahan api jet bocor, menyebabkan kereta- kereta yang diletakkan di kedua-dua belah bahu jalan terbakar.
“Anggota bomba sedang menggeledah beberapa kediaman bagi memastikan semua penduduk selamat dipindahkan.
“Kebakaran telah dipadamkan sepenuhnya,” kata Eddy.
Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), jumlah orang di dalam pesawat itu masih belum diketahui.
“FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan sediang giat menjalankan siasatan,” tambah FAA. – AGENSI