LONDON – Seorang juruterbang dan penumpang selamat selepas pesawat ringan yang dinaiki mereka terhempas di atas sebatang jalan yang sibuk, lapor laman berita The Standard.
Pesawat tersebut mendarat di jalan A419 di Gloucestershire, England dalam kejadian pada pukul 4.45 petang (waktu tempatan), Selasa lalu.
Seorang saksi berkata, pesawat itu berhenti sepenuhnya, manakala bahagian muncungnya menembusi jalan raya.
Kedua-dua mangsa dipercayai tidak mengalami kecederaan parah, manakala beberapa perkhidmatan kecemasan dikejarkan ke lokasi kejadian.
Tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas tersebut sebelum polis menutup jalan di kedua-dua arah. – AGENSI