Pesawat mendarat cemas selepas langgar arnab

enjin pesawat terbakar viral

Enjin pesawat terbakar sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Denver semalam. – X

DENVER, COLORADO – Sebuah pesawat United Airlines mendarat cemas selepas satu enjinnya terbakar sejurus berlepas dari sebuah lapangan terbang di negeri Colorado, lapor akhbar The Sun UK semalam.

Juruterbang mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver selepas pesawat itu mengeluarkan bunyi dentuman kuat dan enjin mula terbakar ketika ia berada di ruang udara. 

Pesawat jenis Boeing 737 itu membawa 159 penumpang menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Edmonton di Kanada. 

Rakaman kejadian  dimuat naik di laman X  memaparkan orang ramai bangun daripada  tempat duduk mereka untuk melihat ke luar tingkap. 

Mereka panik dan menjerit ketakutan apabila sayap pesawat mengeluarkan api. 

Pesawat itu kekal di ruang udara selama 75 minit sebelum juruterbang mematikan enjin sebelah kanan selepas membuat panggilan kecemasan.

Seorang jurucakap United Airlines berkata: “Pesawat itu kembali ke lapangan terbang dan kami menyediakan pesawat lain untuk membawa penumpang ke destinasi mereka.”

“Kebakaran itu berpunca daripada seekor arnab. 

“Bangkainya terperangkap di dalam enjin selepas dilanggar pesawat yang bergerak laju di landasan,” tambah syarikat itu. – AGENSI