Pesawat kargo ditembak jatuh di Sudan, tiada mangsa selamat

pesawat sudan jatuh

Video yang dikongsikan oleh RSF menunjukkan serpihan pesawat yang ditembak jatuh. – RSF

KHARTOUM – Sebuah pesawat kargo didakwa milik tentera Sudan terhempas di kawasan Malha, negeri Darfur Utara awal semalam selepas dipercayai ditembak pasukan separa tentera.

Ia sekali gus mengorbankan tiga anak kapal warga Sudan dan dua rakyat Russia, lapor portal berita Sudan Tribune.

Sumber tentera berkata, sebuah pesawat kargo Ilyushin Il-76 buatan Russia sedang dalam misi menghantar peralatan ketenteraan dan ubat ke ibu pejabat tentera di El Fasher.

Ia terhempas sekembalinya dari lokasi itu.

Pasukan Sokongan Pantas (RSF) dilaporkan telah menembak jatuh pesawat itu, manakala beberapa sumber lain berkata, berkemungkinan berlakunya kerosakan teknikal.

Menurut agensi berita Reuters, kedutaan Russia di Khartoum menyatakan bahawa ia sedang menyiasat laporan tersebut serta menyelaras dengan pihak berkuasa Sudan.

Sementara itu, RSF mengeluarkan klip video yang menunjukkan serpihan pesawat dan pasport milik anak kapal dari Russia. 

Kenyataan oleh jurucakap RSF mendakwa bahawa askar mereka menembak jatuh ‘pesawat perang asing’ yang bertempur bersama tentera Sudan.

Ia mendakwa bahawa pesawat itu telah melakukan beberapa serangan pengeboman di kawasan tersebut. – AGENSI