Pesawat ATR terbabas, penumpang cedera

ATR

GAMBAR fail 17 Ogos 2015 menunjukkan sebuah pesawat penumpang jenis ATR milik Trigana Air tiba di Lapangan Terbang Jayapura, wilayah Papua. – AFP

JAYAPURA, Indonesia – Sebuah pesawat membawa 48 orang terbabas di landasan di pedalaman timur Indonesia, Papua hari ini, kata polis, menyebabkan sejumlah penumpang cedera, lapor saluran berita CNA.

Negara kepulauan Asia Tenggara itu mempunyai rekod keselamatan penerbangan yang buruk, manakala Papua diliputi banjaran gunung di mana penerbangan terjejas akibat kekerapan cuaca buruk.

Pesawat jenis ATR-42 milik Trigana Air itu sedang berlepas dari sebuah lapangan terbang di Kepulauan Yapen, kawasan ibu kota Papua, Jayapura pagi tadi apabila ia terbabas dari landasan.

Penerbangan itu membawa 42 penumpang termasuk seorang bayi dan enam kru.

“Syukur kepada Tuhan semua orang selamat dan dibawa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

“Kami masih menyiasat insiden ini dan bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan untuk memastikan kemalangan seperti ini tidak berlaku lagi,” kata ketua polis tempatan, Ardyan Ukie Hercahyo dalam satu kenyataan.

Agensi mencari dan menyelamat tempatan menyatakan dalam satu kenyataan bahawa sebilangan penumpang cedera dan trauma akibat kemalangan itu.

Indonesia banyak bergantung kepada pengangkutan udara untuk menghubungkan beribu-ribu pulau tetapi Papua khususnya merupakan kawasan sukar untuk sampai.

Pada 2015 sebuah penerbangan Trigana Air terhempas di Papua, menyebabkan semua 54 penumpang dan krunya terbunuh. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *