Pesakit positif dadah mengamuk di hospital

pesakit mengamuk

Pesakit berkenaan keluar dari bilik sambil mengejar jururawat. – Khaosod

BANGKOK – Seorang pesakit yang berada di bawah pengaruh methamphetamine bertindak ganas dengan menyerang jururawat ketika dibawa ke sebuah hospital di wilayah Maha Sarakham, lapor laman berita Thaiger semalam.

Berdasarkan video yang dimuat naik di platform TikTok, beberapa jururawat dilihat berlari keluar dari sebuah bilik.

Seorang pesakit lelaki yang tidak berbaju dan memegang rel katil kemudian keluar dari bilik itu sambil mengejar mereka.

Berdasarkan beberapa laporan, insiden itu berlaku selepas pesakit berkenaan dibawa ke hospital oleh ahli keluarganya sendiri ekoran masalah ketagihan dadah yang teruk.

Kebiasaannya, pesakit yang menunjukkan gejala-gejala kegelisahan teruk akan diikat pada katil hospital di kedua-dua tangannya.

Bagaimanapun, ibu pesakit tersebut dilaporkan meminta agar anaknya hanya diikat sebelah tangan, menyebabkan dia mampu melepaskan diri dan menyerang jururawat.

Situasi mencemaskan itu bagaimanapun dapat dikawal sejurus polis tiba.

Tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu, manakala pesakit berkenaan ditahan polis sebelum dirujuk ke kemudahan psikiatri untuk penilaian dan penjagaan lanjut. – AGENSI