MADISON, WISCONSIN – Seorang pesakit bermain trombon ketika menjalani pembedahan otak sebagai langkah memastikan prosedur tersebut berjalan lancar, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Brian Rust yang mula bermain alat muzik tersebut sejak berusia 15 tahun, disahkan menghidap ketumbuhan dinamakan ‘intention tremor’. Ia merupakan penguncupan otot yang berlaku semasa pergerakan.
Ketika menjalani pembedahan di sebuah hospital di Madison, Wisconsin, Rust perlu kekal dalam keadaan berjaga. Justeru, dia bertanya kepada doktor sama ada dia boleh membawa trombon ke dalam dewan pembedahan.
Dalam video yang dikongsikan, Rust sebenarnya tidak meniup instrumen itu untuk menghasilkan bunyi. Sebaliknya, dia menolak gelongsor luar trombon sambil doktor memerhati sama ada gegaran di tangannya sedang diperbaiki semasa pembedahan.
Dengan melihat Rust mengendalikan trombon, pakar bedah saraf, Dr. Wendell Lake dapat melaraskan kedudukan wayar dan berapa banyak arus elektrik yang perlu digunakan untuk menstabilkan tangannya.
Jenis pembedahan khusus yang dijalani oleh Rust dipanggil rangsangan otak dalam. Ia merupakan prosedur pembedahan yang menggunakan rangsangan elektrik untuk menangani gangguan neurologi.
“Walaupun tidak bermain dengan baik, ia tetap satu perasaan yang indah. Saya tidak mahu melupakan perasaan ini,” katanya. – AGENSI