PETALING JAYA – Pelakon Diana Danielle mendedahkan pernah berdepan gangguan mistik angkara perbuatan sihir individu yang mempunyai hasad dengki terhadap perniagaan ibunya.
Jelas Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Beeson, 33, dia pernah diganggu entiti menyerupai ulat bulu dan toyol sewaktu kecil.
“Saya dah biasa kena gangguan semasa kecil. Ibu saya dalam bidang perniagaan, jadi saya rasa mungkin ada unsur dengki.
“Saya pernah mimpi ada ulat bulu dekat lantai karpet. Bila saya terjaga, ulat itu betul-betul ada dan bergerak keluar daripada karpet sampai penuh satu bilik. Lembaga berupa toyol pula terbang mengelilingi saya.
“Hantu-hantu ini dihantar macam nak ganggu minda kita, orang lain cuba selamatkan saya tapi mereka tak nampak apa yang saya nampak,”kongsinya dalam audio siar yang dihoskan pelakon Safwan Nazri.
Pelakon filem Imaginur itu juga pernah berdepan detik cemas apabila nyawanya hampir melayang selepas diserang rakan ibunya yang dirasuk.
“Ibu saya pernah dicekik kawan sendiri yang kena rasuk, tapi dia sempat larikan diri. Kemudian, kawan dia pula cari dan cekik saya.
“Ibu saya tolak saya pergi belakang dia dan kami masa itu memang dah dekat sangat dengan tingkap.
“Masa mereka tengah bergelut, saya hampir terjatuh sebab hanya berpaut pada leher ibu saya, mujur ada orang datang bantu kami,”dedahnya.
Terkesan dengan pengalaman itu, isteri kepada pelakon Farid Kamil itu kini lebih berhati-hati setiap kali melakukan penggambaran di kawasan pedalaman atau hutan kerana faham dunia ini dihuni pelbagai makhluk. – https://amiminerals.org/