Perkhidmatan Rahsia nafi cuai lindungi Trump

WhatsApp Image 2024 09 17 at 1.27.15 PM

GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan Routh ditangkap di County Martin, Florida. – AFP

WASHINGTON – Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat kelmarin mempertahankan peranannya, sehari selepas seorang lelaki bersenjata berjaya menunggu Donald Trump dalam satu lagi percubaan bunuh yang  meningkatkan kebimbangan terhadap keganasan menjelang pilihan raya Presiden, November ini.

Lelaki bersenjata itu tidak dapat menyasarkan Trump  dan gagal melepaskan tembakan sebelum kehadirannya disedari oleh ejen-ejen, kata Perkhidmatan Rahsia yang menegaskan, mereka menyediakan perlindungan ‘tahap tertinggi’ kepada Trump.

Ketika pegawai-pegawai  keselamatan mendedahkan butiran baharu  termasuk kepercayaan mereka bahawa suspek bertindak bersendirian, Trump cuba menyalahkan lawannya, Kamala Harris dan Presiden Joe Biden berhubung insiden kelmarin itu.

Kata Trump, percubaan membunuhnya adalah didorong retorik kedua-dua mereka bahawa beliau membahayakan institusi demokrasi.

Biden dan Harris mengecam cubaan bunuh terbaharu itu dengan Biden berkata: “Saya sentiasa mengutuk keganasan politik. Saya sentiasa akan mengutuknya.” 

Dalam pada itu, suspek yang dikenal pasti oleh polis sebagai Ryan Wesley Routh, 58, ditahan sejurus selepas dikesan ketika bersembunyi dengan selaras raifal di pinggir padang golf Trump di Palm Beach Barat.

“Dia tidak melepaskan tembakan atau melepaskan sebarang tembakan ke arah ejen-ejen kami,” kata pemangku pengarah Perkhidmatan Rahsia, Ronald Rowe kepada pemberita.

Ejen Perkhidmatan Rahsia melepaskan tembakan ke arah suspek dan dia melarikan diri. Suspek bagaimanapun menyerah diri tidak lama kemudian. Trump pula tidak cedera dalam kejadian itu.

Routh dihadapkan ke mahkamah semalam dan didakwa kerana memiliki senjata api haram. Dia kelihatan tenang dan tidak bercakap melainkan berkata ‘ya’ kepada soalan hakim.

Menurut  FBI, Routh mengambil masa hampir 12 jam di perimeter padang golf berkenaan tanpa dapat dikesan. Penilaian itu dibuat berdasarkan rekod pengesanan telefon bimbit suspek.

Pada 13 Julai lalu, Trump cedera di telinga dalam cubaan membunuhnya di sebuah perhimpunan politik di negeri Pennsylvania. – AFP 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *