Penyewa lari tinggalkan air kencing dalam botol

geli penyewa

Tangkap layar menunjukkan sampah sarap yang berselerak di atas lantai dan keadaan rumah yang kotor. – TikTok

JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia terkejut apabila menemui timbunan sampah sarap dan botol berisi air kencing ketika membersihkan rumah yang disewakan, lapor laman berita Detik semalam. 

Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @mazi8557, rumah itu dipenuhi dengan longgokan sampah sarap dan barangan peribadi yang berselerak di atas lantai.

Bahkan setiap bilik tidur, tandas, dapur, ruang tamu kelihatan sangat kotor kerana tidak pernah dicuci oleh penyewa selama empat tahun. 

“Saya sangkakan akan melakukan kerja-kerja pembersihan biasa tetapi saya terkejut apabila tiba di sana. Sampah penuh satu rumah! Rupanya mereka tidak pernah membersihkan rumah selama empat tahun,” kata perakam video. 

Lebih mengejutkan adalah penyewa telah melarikan diri meskipun hanya membayar sewa sebanyak 8 juta rupiah (RM2,200) daripada 25 juta rupiah (RM6,900) untuk setahun. 

Menurut wanita itu, pembersihan tersebut memakan masa dua hari dan mereka menemui botol plastik berisi air kencing di atas katil. 

Rakaman itu menjadi tular dan mencatatkan lebih 2.1 juta tontonan. 

“Saya yang tengok pun berasa mual dan pening kepala,” kata seorang netizen. 

“Macam rumah terbengkalai,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *