Penunggang skuter ditendang enggan berhenti di ‘zebra crossing’

aGeli tendang111 1

GAMBAR menunjukkan sebuah skuter yang ditendang seorang pejalan kaki di persimpangan lampu isyarat. – Foto Facebook

BANGKOK – Seorang pejalan kaki di Bangkok menendang seorang penunggang skuter yang gagal berhenti di lintasan belang ketika lampu isyarat berwarna merah, lapor laman berita Thaiger semalam.

Video rakaman kejadian itu tular di platfrom TikTok, manakala penunggang skuter tersebut telah ditahan polis semalam.

Seorang pengguna TikTok yang menggunakan akaun @p_is_myname memuat naik video memaparkan dia menendang dan bertengkar dengan penunggang skuter berkenaan.

Dalam video itu, pejalan kaki tersebut dilihat melintas jalan di lintasan belang bersama lebih 10 orang lain.

Semua kenderaan berhenti bagi memberi laluan kepada mereka kecuali sebuah skuter yang ditunggang dengan laju, menyebabkan pengguna TikTok tersebut dengan pantas menendangnya.

“Saya sudah pun melaporkan perkara itu kepada polis,” katanya.

Sementara itu, penunggang skuter yang dikenali sebagai Jadesada berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan untuk mengambil teman wanitanya.

Menurut Jadesada, dia tidak berhenti di lintasan belang ketika lampu isyarat bertukar merah kerana menunggang skuter dengan laju.

Dia kini berdepan lima kesalahan lalu lintas, antaranya menunggang skuter secara cuai dan tidak berhenti di lampu merah. – AGENSI