Penumpang tendang tempat duduk sendiri dalam pesawat

AS kapal1 scaled

SEORANG penumpang menendang kerusi pesawat United Airlines. – Foto Gino Galofaro/SWNS

WASHINGTON – Seorang penumpang pesawat United Airlines menendang tempat duduknya ketika dalam penerbangan menuju ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar New York Post semalam.

Kejadian berlaku pada 16 November lalu ketika pesawat terbabit berlepas dari Austin, Texas, lapor Perkhidmatan Berita South West.

Seorang lelaki, Gino Galofaro yang merakam kejadian itu berkata, sejurus terjaga daripada tidur, dia melihat penumpang tersebut menendang tempat duduknya sendiri.

Ketika itu, hanya kurang sejam dari masa pesawat tersebut dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.

“Kru penerbangan berjalan melintasinya beberapa kali, namun tiada sesiapa yang melakukan apa-apa,” kata Galofaro yang akhirnya memutuskan untuk menghentikan perbuatan amuk itu.

Kaunselor yang bekerja di San Diego itu berkata, dia dan dua penumpang lain kemudian mengikat lelaki itu di kerusi.

Sejurus mendarat, penumpang tersebut ditahan polis.

Jurucakap United Airlines berkata, penumpang tersebut dilarang daripada menaiki penerbangan syarikat itu pada masa akan datang. – AGENSI