Penumpang tembak mati perampas kapal terbang

RAMPASS

PELANCONG menaiki sebuah pesawat ringan milik Tropic Air di Bandar Belize semalam. – AFP 

BELMOPAN, BELIZE – Penumpang dari Belize menembak mati seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) bersenjatakan pisau yang cuba merampas sebuah pesawat ringan, kata polis negara Caribbean itu.

Penyerang mengancam juruterbang sejurus selepas pesawat jenis Cessna Grand Caravan milik syarikat penerbangan Tropic Air itu berlepas pada waktu pagi bersama 14 penumpang dari bandar Corozal.

“Kapal terbang itu menuju ke Pulau San Pedro di Belize tetapi suspek mengarahkan juruterbang menukar haluan ke luar negara,” kata Pesuruhjaya Polis, Chester Williams kepada saluran berita Channel 5.

Pesawat itu kemudian berlegar-legar di ruang udara Lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Belize sebelum mendarat ketika hampir kehabisan minyak apabila perampas menikam dua penumpang lain.

Seorang penumpang yang kebetulan membawa senjata api yang dilesenkan bertindak menembak mati penyerang, demikian menurut pegawai dan media tempatan.

Polis mengenal pasti penyerang sebagai wargnegara AS, Akinyela Sawa Taylor, 49, yang merupakan veteran tentera.

Semua penumpang cedera dibawa ke hospital berdekatan.

Dalam pada itu, Kedutaan Amerika di Belize menyuarakan kekesalan berhubung kejadian itu. – AFP