Penumpang panik kabin pesawat dipenuhi asap tebal

swiss airlines

Asap tebal memenuhi kabin sebelum pesawat Swiss Airlines mendarat cemas di Austria. – X/20 Minuten

GRAZ, AUSTRIA – Sebuah penerbangan Swiss Airlines terpaksa mendarat cemas di Graz, Austria selepas kabin dipenuhi asap tebal akibat masalah enjin, lapor akhbar The Sun UK semalam.

Dalam kejadian kelmarin, 12 penumpang cedera, manakala seorang kru kabin dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami kecederaan serius.

Rakaman video penumpang menunjukkan kabin pesawat dari Bucharest, Romania ke Zurich itu dipenuhi asap tebal yang dilaporkan berpunca daripada kerosakan enjin.

Saksi berkata, salah satu enjin meletup sekali gus mencetuskan kebakaran dan memenuhi kabin dengan asap.

“Terdapat bunyi aneh, banyak asap dan orang ramai tidak dapat bernafas,” kata seorang penumpang kepada akhbar Austria, Kleine Zeitung.

Seorang lagi saksi melaporkan melihat letupan dan kebakaran enjin sebelum kabin diselubungi asap.

Juruterbang membuat keputusan untuk melencongkan penerbangan ke Graz, di mana ia membuat pendaratan kecemasan.

Kesemua 74 penumpang dan lima anak kapal telah dipindahkan dari pesawat itu, manakala syarikat Swiss Airlines menjadualkan semula penerbangan baharu semalam. – AGENSI