BANDAR RAYA MEXICO – Sebilangan penumpang dan kru kabin berjaya menangkap seorang lelaki yang cuba merampas pesawat dinaiki mereka dengan tujuan melencongkannya ke Amerika Syarikat (AS) selepas menahan seorang pramugari sebagai tebusan, lapor akhbar New York Post semalam.
Rakaman klip video di media sosial dan saluran televisyen tempatan memaparkan seorang lelaki berusia 31 tahun dan hanya dikenali sebagai Mario, dikelilingi oleh beberapa penumpang dan kru penerbangan.
Suspek sebelum itu mahu melencongkan penerbangan Volaris ke San Diego, AS dari Tijuana kerana mendakwa bahawa salah seorang ahli keluarganya telah diculik.
Menurutnya, dia menerima ugutan bunuh yang memberitahunya untuk tidak pergi ke Tijuana sebaik sahaja penerbangan itu berlepas, demikian menurut pihak berkuasa Mexico.
Bapa kepada dua anak itu kemudian menahan seorang pramugari sebelum berlari ke pintu dan cuba melompat keluar.
Bagaimanapun, seorang penumpang bertindak pantas dengan menangkapnya sebelum dia diserahkan kepada polis.
Seorang lelaki yang mengetuai tindakan menangkap suspek memberitahu wartawan bahawa dia dapat meyakinkan suspek untuk menyerah diri secara aman. – AGENSI