Penumpang ditahan, seludup 7 kilogram emas dalam kasut

emas viral

Gambar fail menunjukkan tujuh jongkong emas dan pasport yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai pada 18 Oktober lalu. – Thu Huong

HANOI  – Seorang penumpang ditahan kerana menyeludup 7 kilogram emas dari Hong Kong ke Vietnam dengan menyembunyikannya di dalam kasut dan tali pinggang, lapor saluran berita VNExpress semalam. 

Penyeludupan itu dibongkar oleh beberapa pegawai dan anggota kastam sekitar pukul 9.30 pagi (waktu tempatan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Jumaat lalu. 

Menurut seorang pegawai kastam, suspek diberkas selepas tiba dengan menaiki penerbangan UO550 dari Hong Kong. 

“Dia mengaku diupah untuk membawa 7 jongkong emas yang mana setiap satu seberat 1 kilogram. Suspek dibayar 2.5 juta dong (RM433) untuk setiap kilogram emas yang dibawa masuk. 

“Dia dijangka bertemu dengan seseorang di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai untuk menghantar emas berkenaan,” katanya. 

Suspek dan bahan bukti diserahkan kepada polis Hanoi untuk siasatan lanjut. – AGENSI