BANGKOK – Seorang penjual buah asam jawa didenda 2,500 baht (RM300) kerana menggunakan poster memaparkan imej lucah bagi melariskan jualan, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Peniaga tersebut memasang poster di sekeliling trak pikapnya yang digunakan untuk menjual asam jawa di tempat letak kereta sebuah hospital di wilayah Udon Thani.
Ketika serbuan dilakukan, polis merampas beberapa poster memaparkan imej model wanita tidak berpakaian yang turut tertera slogan promosi jualan tersebut.
Turut dipaparkan adalah senarai harga dan butiran kempen cabutan bertuah untuk pelanggan tetap dengan menawarkan barangan kemas sebagai hadiah.
Polis menahan isteri penjual tersebut untuk disoal siasat, manakala lelaki itu mengaku mengambil imej eksplisit daripada internet, menyunting dan mencetak poster.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan semata-mata untuk menarik perhatian pelanggan dan dia bersedia menurunkan poster-poster tersebut sekiranya perbuatan itu salah di sisi undang-undang.
Penjual itu didapati melanggar Seksyen 388 Kanun Jenayah kerana melakukan perbuatan lucah di khalayak ramai dan boleh didenda maksimum 5,000 baht (RM650).
Dia didenda 2,500 baht dan diarahkan menurunkan semua gambar lucah tersebut. – AGENSI