KUANTAN – Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di sebuah rumah di Perumahan Bukit Rangin, bulan lalu.
Tertuduh, Nur Nabilah Sekh Ruslan, 32, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ellyna Othman.
Bagaimanapun tertuduh yang kelihatan diam dan tunduk ketika pertuduhan dibacakan kelihatan menangis teresak-esak ketika dibawa keluar daripada mahkamah sambil menyebut kalimah Allahuakbar selain berkata ‘Allah ada’.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa menyebabkan kematian anak asuhannya itu antara pukul 6 petang hingga 8 malam, 17 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Abdul Wahab, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Terdahulu media melaporkan, polis menahan enam individu termasuk pasangan suami isteri susulan kematian kanak-kanak perempuan pada 26 Februari lalu.
Berdasarkan laporan, pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini menerima seorang pesakit kanak-kanak perempuan kerana tidak sedarkan pada 19 Februari lalu sebelum meninggal dunia pada keesokannya.
Pemeriksaan fizikal ke atas badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam di kedua-dua belah tangan dan kaki. – https://amiminerals.org/