Penerbangan lewat lima jam, penumpang ditawar pilihan bayaran balik

WhatsApp Image 2024 08 28 at 4.07.13 PM

Gambar hiasan

PUTRAJAYA- Semua syarikat penerbangan kini dikehendaki menawarkan pilihan bayaran balik kepada pengguna dalam cara pembayaran asal bagi kelewatan penerbangan selama lima jam dan lebih.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu merupakan antara pilihan baharu untuk pengguna yang tidak mahu meneruskan perjalanan mereka.

Jelas beliau, ia adalah susulan daripada penambahbaikan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang akan memberi perlindungan pengguna lebih baik bagi pengguna penerbangan.

Katanya, penambahbaikan MACPC tersebut bakal diwartakan bermula 2 September ini.

Anthony Loke berkata, pengguna akan menerima bayaran balik secara penuh daripada syarikat penerbangan dalam tempoh masa 30 hari.

Sementara itu, katanya, untuk gangguan penerbangan yang disebabkan oleh keadaan luar biasa misalnya seperti bencana, syarikat penerbangan dikehendaki terlebih dahulu menawarkan bayaran balik dalam mod bayaran asal.

Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, Malaysia Airlines Berhad (MAB) diarahkan untuk mengemukakan laporan bulanan berhubung status pelaksanaan pelan mitigasi kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) susulan isu masalah teknikal pesawat dihadapi syarikat penerbangan itu.

Tambahnya, CAAM telah menjalankan siasatan mengejut terhadap MAB termasuk syarikat MAB Engineering Services (MABES) yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan pesawat pada 24 hingga 28 Jun lalu. – Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *