NEW DELHI – Sekumpulan penduduk di negeri Himachal Pradesh, India menerima kecaman orang ramai kerana cuba menyelamatkan anak lembu yang ditelan seekor ular sawa, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform X oleh akaun @ParveenKaswan, tiga lelaki dilihat menghentakkan badan reptilia tersebut di atas tanah.
Hentakan beberapa kali membuatkan anak lembu yang berada di dalam perutnya bergerak secara perlahan-lahan ke arah mulut.
Tidak lama kemudian, pemangsa itu memuntahkan semula makanannya.
“Beberapa penduduk tempatan cuba menyelamatkan seekor anak lembu selepas ia ditelan ular sawa. Adakah anda fikir wajar untuk campur tangan dalam perkara alam semula jadi atau adakah mereka melakukan perkara yang betul?” demikian menurut keterangan video itu.
Rakaman itu mencatatkan lebih 1.2 juta tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai netizen.
“Anak lembu itu telah mati sebaik sahaja ia ditelan. Dimanakah akal kamu untuk memukulnya demi membebaskan bangkai itu?” marah seorang netizen.
“Itu makanannya (ular sawa)! Jangan sibuk campur tangan!” marah netizen lain. – AGENSI